Belian & Pertanyaan:

Belian & Pertanyaan:

Friday 6 October 2017

Isteri Cagaran ~ Reen Syazreena

(SEM & S/S) RM24.00 > RM21.10

“Abang…” Huda geleng kepala. “Ia bukan salah abang.”

Amran senyum kelat. “Jangan marah ayah, Huda.”

Huda mengeluh kasar. Sejak insiden hari itu, dia langsung tidak bercakap dengan ayah. Tindakan ayah kali ini benar-benar membuatkan dia hilang hormat pada lelaki itu. Untuk kesekian kalinya, ayah sekali lagi mengecewakannya, sepertimana berita perkahwinan kedua ayah mengecewakan arwah mama.

“Semua orang buat salah, begitu juga ayah.” Tambah Amran lagi.
Huda diam.
“Huda…”

Amran dan Huda menoleh. Kelihatan Encik Adli sedang berdiri memandang mereka.

Encik Adli memandang anak sulungnya. “Boleh Amran tinggalkan ayah dengan Huda?”

Amran pandang Huda sebelum angguk kepala. Dia bangun, melangkah masuk ke dalam rumah.
Keadaan menjadi sepi seketika. Baik Huda mahupun Encik Adli, masing-masing mendiamkan diri. Masing-masing kelihatan janggal.

“Ayah tahu, ayah dah gagal jalankan tanggungjawab sebagai seorang ayah pada Huda. Ayah dah banyak buat salah pada Huda.” Encik Adli memecahkan sepi yang menyelubungi mereka.

Huda diam.

“Ayah harap Huda akan bertemu dengan lelaki yang lagi baik daripada ayah... tapi ayah sekali lagi hancurkan impian Huda. Betul kan?”

Huda masih diam.

“Sebab ayah, Huda terpaksa kahwin dengan Haikal.”

Kali ini diam Huda berubah menjadi keluhan.

“Ayah minta maaf.”

Air mata Huda jatuh.

“Ayah tak berpegang pada janji arwah mama Huda.”

Air mata Huda jatuh lagi. Akhirnya dia bangun dan melangkah masuk ke dalam rumah meninggalkan Encik Adli dengan rasa bersalah yang makin hari makin menebal.




APA yang dirancang beberapa bulan yang lalu untuk hari ini telah selesai dengan sempurnanya. Huda Adrina kini sah bergelar isteri kepada Luthfi Haikal walau wanita itu separuh rela untuk akui itu.

Keadaan sekeliling bilik Haikal di Vila Warisan diperhatikan. Bilik lelaki itu dua kali lebih luas dari biliknya. Terdapat satu rak yang dipenuhi buku berdekatan meja kerja. Di sebelah kirinya, berhampiran pintu bilik, kelihatan kotak-kotak yang dibalut cantik, berisikan hadiah perkahwinannya disusun kemas dan teratur di situ.

Keluhan dilepaskan tanpa sedar. Rata-rata tetamu yang hadir tadi adalah rakan-rakan sekolah mereka. Masing-masing terkejut mengetahui hubungannya dan Haikal masih wujud lagi. Ah, kalaulah mereka tahu hal sebenarnya.

Pantulan dirinya dalam cermin solek di hadapannya diperhatikan pula. Wajah tanpa mekap dipandang kosong. Senyuman cuba diukir pada diri sendiri tapi entah mengapa air matanya tiba-tiba saja gugur. Cepat-cepat air mata yang jatuh ke pipi dikesat apabila daun pintu bilik terkuak.

Terdengar derapan kaki melangkah masuk. Huda telan air liur menyedari gerangan yang melangkah masuk tadi itu adalah suaminya. Dia perhatikan lelaki itu melalui cermin di hadapannya.